KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Australia yang mendakwa dirinya diserang secara seksual oleh anak kapal MAS pada awal bulan Ogos, bakal mendedahkan insiden tersebut dalam sebuah rancangan temu bual Australia malam ini (6.45 malam waktu Malaysia).

Laura Bushney, 26, sebelum ini mendakwa pramugara terbabit telah datang dan duduk di sebelahnya selepas tiga jam penerbangan yang sedang menuju ke Paris.

Pramugara itu kemudiannya dikatakan telah meletakkan tangan di atas pehanya atas alasan cuba ‘menenangkannya’, kata Bushney dalam satu sedutan temu bual rancangan Sunday Night di Channel Seven.

“Dia mengurut kaki saya. Saya amat takut dan hanya ingin turun dari kapal terbang.

Saya asyik bertanya sendiri – kenapa saya tidak menjerit? Kenapa saya tidak menghentikan perlakuannya? Saya seorang yang tabah dan mampu melakukannya,” tambah Bushney yang menyatakan dirinya takut sehingga panik tidak bersuara, menurut laporan dipetik Sydney Morning Herald.

Bushney, yang berseorangan dalam penerbangan itu, dikatakan telah merakam insiden tersebut menggunakan telefon pintar yang disorok di bawah selimut di atas pehanya.

Pramugara terbabit, dakwa Bushney, meletakkan tangannya di bawah selimut tersebut dan seterusnya ke dalamseluarnya.

Bushney berkata dia turut sempat merakam perbalahan dengan pramugara berkenaan selepas kejadian itu.

Sejurus pesawat tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, pramugara terbabit ditahan polis.

Sementara itu, ada pihak yang merasakan Channel Seven bertindak tidak wajar untuk menyiarkan temu bual Bushney kerana rakyat Malaysia sedang berkabung diatas tragedi pesawat MH17 yang mengorbankan 298 nyawa, termasuk 43 warga Malaysia.

Seorang warga Malaysia yang bekerja di Hong Kong, Stephanie Yu, yang mendapat tahu tentang temu bual tersebut, merasa ragu-ragu terhadap dakwaan Bushney itu.

“Saya amat terkejut dengan keputusan rangkaian Channel Seven di Australia untuk membuat rakaman bersama Bushney di hari Malaysia berkabung. Saya telah melihat prebiu rakaman itu dan mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan Bushney dan dakwaannya. Jadi, saya pun membuat siasatan dan menemui akaun Instragram lama kepunyaannya. Saya merasa sangat jijik dan marah.

Jika pun benar pramugara MAS itu bersalah, saya percaya Bushney berkemungkinan sengaja membiarkan tingkah laku itu dan membuat dakwaan selepas itu. Agak jelas dia memperbesarkan isu ini untuk tujuan publisiti, atau sebab-sebab lain,” kata Stephanie.

“Rakyat Malaysia sudah melalui tahun yang amat sukar. Orang ramai perlu melihat secara betul-betul untuk memutuskan sama ada Bushney bercakap benar atau ianya penipuan semata-mata,” tambah Stephanie.

Menurut sumber MAS, apabila dihubungi Astro Awani, syarikat tersebut akan mengambil pendirian tidak berpihak dan tidak akan memberikan sebarang komen lanjut berikutan kes terbabit masih dalam siasatan.


Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/wanita-australia-dalam-kes-serangan-seksual-kru-mas-dedahkan-insiden-di-tv-42496?cp

Post a Comment

Previous Post Next Post

Translate