Baru pertama kali dihimpit kontroversi berat setelah lapan tahun terlibat dalam industri seni tanah air, pelakon Along Eyzendy baru menyedari bahawa kewujudannya dalam industri sebenarnya mendapat perhatian penonton dan peminat industri filem. Kata Along, selama ini dia hanya membaca gosip selebriti lain, namun kali ini dia yang mengalaminya sendiri.

“Saya dah terlibat dalam industri sejak 2006 dan selama ini saya hanya membaca gosip artis lain. Tapi kali ini saya alami sendiri dan baru saya tahu rupanya saya juga diperhatikan oleh peminat hiburan tanah air,” kata Along ketika ditemui di majlis doa selamat filem ‘Abang Adik’ terbitan MIG.

Pada 20 April lalu, Along ditahan polis ketika mengunjungi sebuah kelab malam di sekitar Jalan P. Ramlee bagi menemani temannya mencari lokasi penggambaran. Ketika serbuan, Along dan pengunjung kelab malam yang lain turut ditahan untuk diambil sampel air kencing. Bagaimanapun setelah ujian air kencing selesai, keputusan Along adalah negatif dan bebas dadah.

Terperangkap dalam situasi tersebut, pelakon filem 'Khurafat' ini mengakui bersyukur perkara tersebut tidak memberi kesan langsung dalam kerjaya seninya malah kerjayanya kini berjalan seperti biasa.

“Setakat ini tiada pula syarikat produksi yang menyingkirkan saya selepas kejadian ini berlaku. Malah, saya kini mula berjinak-jinak sebagai penolong pengarah untuk drama ‘Gugurl Propa’. InsyaAllah satu hari nanti saya mahu mengarah filem bergenre ‘road movie comedy’ pula,” kata Along mengakhiri bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post

Translate