Seorang bapa terkejut sebaik menonton klip video yang memaparkan anak perempuannya diperkosa seorang duda warga emas yang juga jirannya di sebuah rumah di Taman Seri Kuala Krau.

Kejadian dipercayai berlaku pada 2009 apabila duda berusia 66 tahun itu memanggil mangsa berusia 19 tahun setiap kali remaja terbabit mahu ke kedai apabila terpaksa melalui depan rumah suspek sebelum dipujuk masuk ke dalam rumah. 
Difahamkan, suspek yang tinggal seorang diri selepas kematian isteri sejak empat tahun lalu dipercayai merogol mangsa yang mengalami masalah mental lebih daripada tiga kali dan dia dikatakan turut merakam aksi berkenaan menggunakan telefon bimbit. 

Perbuatan keji itu terbongkar selepas rakaman berkenaan tersebar hingga ke Felda Jenderak Utara dekat sini, sebelum rakan kepada bapa mangsa mengecam wajah remaja terbabit sebagai anak kenalannya. 

Berikutan itu, dia memaklumkan mengenai penyebaran klip video itu kepada bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh sebelum lelaki berkenaan yang terkejut dengan berita itu bertindak mencari penyebar rakaman terbabit dan menemui seorang lelaki yang masih menyimpan rakaman itu sebelum menyaksikannya sendiri.
Bapa mangsa yang berusia 40-an memberitahu mengenai klip video berkenaan kepada isterinya sebelum mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada 29 Disember lalu. 

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit. 

Menurutnya, susulan laporan bapa mangsa, duda terbabit ditahan di rumahnya pada 30 Disember lalu sebelum dibawa ke IPD Temerloh bagi membantu siasatan. 

Katanya, pada masa sama, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik dipercayai mengalami masalah mental dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk pemeriksaan lanjut. 

Md Nor berkata, polis turut merampas telefon bimbit yang mempunyai rakaman aksi berkenaan dan dihantar ke bahagian forensik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk pemeriksaan lebih teliti dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Post a Comment

Previous Post Next Post

Translate