Tak Pasti Nak Ceraikan Isteri - Ady Putra

KUALA LUMPUR – Mohamed Hadi Putera atau Ady Putra memaklumkan belum membuat keputusan tetap sama ada ingin bercerai dengan isterinya atau tidak walaupun telah memfailkan perceraian dengan isterinya, Aida Yusof pada 11 Mei lalu.
Dalam laporan berita mStar Online, Ady berkata, dia dan isterinya akan pergi ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada hari Isnin depan sebagai percubaan terakhir untuk menyelamatkan rumah tangganya.
Segalan keputusan yang bakal dibuat oleh Hakim Syarie pada hari tersebut akan dituruti oleh Ady sekiranya hubungan suami isteri mereka yang menjangkau selama enam tahun itu dapat diselamatkan atau tidak.
“Pada hari itu nanti Hakim Syarie akan membuat keputusan sama ada kami akan bercerai ataupun perlu mendapatkan khidmat kaunseling rumah tangga. Apa saja keputusannya, kami akan ikut,” kata Ady.
Dalam kerancakan dunia hiburan dengan penyebaran berita pelakon kacak itu bakal bercerai dengan isterinya, timbul pula cerita kurang enak apabila pelakon wanita, Nora Danish didakwa sebagai punca utama keruntuhan rumah tangganya.
Bagaimanapun, Ady sekali lagi menegaskan perceraian yang bakal berlaku adalah bukan disebabkan oleh pihak ketiga mahu pun isu kehadiran wanita lain dalam hidupnya.
“Saya tahu macam-macam orang buat spekulasi tetapi ingin saya jelaskan, bukan pihak ketiga yang menjadi masalah perkahwinan saya ini,” katanya.
Walaupun dilanda masalah dalam situasi untuk menyelamatkan mahligainya, Ady begitu menghargai segala doa yang dipanjatkan oleh para peminatnya supaya jodohnya dengan isteri dipanjangkan.
Ady Putra dan Aida Yusof telah bernikah pada 14 April 2006 dan tidak dikurniakan cahaya mata lagi kerana Aida telah mengalami keguguran beberapa kali.
Oleh: NAIMAH SHAARI

Post a Comment

Previous Post Next Post

Translate