WALAUPUN dapur lebih dikenali sebagai ‘wilayah wanita’ tetapi sentuhan tangan lelaki yang jarang dapat beraksi di gelanggang kecil itu kadangkala mampu menghasilkan masakan yang unik dan menarik.
Itulah yang disaksikan di Gerai Hati di Karnival Gegaria Harian Metro (KGHM) 2011 di Kepala Batas, Pulau Pinang hujung minggu lalu apabila tiga hadiah utama Pertandingan Masakan disapu bersih kaum lelaki sekali gus membuktikan air tangan golongan itu lebih menarik dan memikat juri.
Kalah menang adat pertandingan, itu kata-kata yang dipegang pemenang utama, Rosli Abdul Majid, 50, yang terharu selepas diumumkan sebagai pemenang.
Katanya, tujuan asalnya menyertai pertandingan itu kerana minat dan ingin bertemu chef idolanya, Chef Zaidah namun terkejut dengan keputusan berkenaan.
 “Sejam sebelum pertandingan bermula, anak saya memberitahu ada pertandingan memasak di karnival ini dan diadili chef yang saya kagumi.
“Saya yang sedang memasak ketika itu terlupa hendak tukar pakaian lain.
“Dalam hati, saya berserah, yang penting saya dapat mengejar masa ke tapak karnival.
“Menu dan bahan yang diberikan pula umpama makanan saya kerana setiap hari memasak makanan itu di restoran saya,” katanya ditemui di tapak KGHM.
Rosli seorang tukang masak bersama 11 lagi peserta diberikan bahan seperti telur, beras, susu, jagung, cili dan bawang; menunya juga sama iaitu menyediakan nasi goreng dan puding jagung mengikut kreativiti masing-masing.
“Ketika itu, idea datang mencurah bagi memastikan hidangan saya lain daripada peserta yang bertanding namun selepas melihat kesungguhan peserta, buntu juga memikirkan idea yang lebih kreatif,” katanya.
Kreativiti Rosli dalam menyiapkan menu nasi goreng madu memikat hati Chef Zaidah walaupun Rosli tidak menggunakan madu sebagai bahan.
“Ia hanya simbolik kerana saya menggunakan dua kuning telur dan syukur puding jagung juga berjaya dimasak dengan baik.
“Saya sering terlepas pelbagai pertandingan memasak yang dianjurkan sekitar Pulau Pinang kerana masa tidak mengizinkan,” katanya yang membawa pulang RM300 berserta hamper.
Bagi pemenang tempat kedua, Faisal Baharom, 37, kejayaan itu bagai menebus kekecewaannya selepas gagal menang sebarang hadiah pertandingan memasak di Kuala Lumpur, bulan lalu.
“Saya memang suka memasak dan sering menyertai pertandingan di beberapa negeri sebelum ini. Namun, dalam pertandingan memasak bulan lalu saya hanya layak ke peringkat akhir.
“Pada awal pertandingan, gerun juga apabila melihat peserta wanita yang berusia kerana mereka lebih dulu makan garam dan tahu selok-belok masakan,” katanya.
Faisal menyediakan nasi goreng Gegaria dan menurutnya menu itu agak mudah disediakan namun ramuannya boleh dipelbagaikan jika bahannya tidak terhad.
“Kemahiran saya ialah dalam menyediakan lauk-pauk. Jadi tergamam sekejap apabila melihat perkataan ‘puding jagung’ kerana saya memang tidak tahu macam mana hendak buat puding,” katanya.
Paling lucu apabila dia hanya belajar membuat hidangan itu dengan mencuri pandang cara peserta lain menyediakan puding jagung selain menggunakan kreativiti bagi menaikkan warna puding.
“Saya menggigil dan berdebar-debar apabila melihat Chef Zaidah hanya diam selepas merasa puding jagung pertama saya. Macam-macam persoalan dalam fikiran kerana saya terlupa hendak merasa dulu hidangan itu,” katanya.
Pembantu perubatan berasal dari Bukit Tengah, Seberang Perai itu membawa pulang RM200 berserta hamper.
Bapa kepada empat anak, Zakiyuddin Ahmad, 39, tidak menyangka mendapat tempat ketiga kerana menyertai pertandingan memasak itu selepas dipaksa anaknya.
“Saya berkunjung ke Karnival Gegaria ini kerana mahu membawa anak menyertai pertandingan karaoke di Gerai RAP namun terlewat kerana penyertaan sudah ditutup.
“Akhirnya saya yang dipaksa anak menyertai pertandingan memasak walaupun kekok kerana pertama kali memasak di khalayak ramai.
“Di rumah, saya hanya jadikan memasak sebagai hobi dan tidak pernah memasuki sebarang pertandingan sebelum ini.
“Nasi goreng memang mudah disediakan namun gementar juga kerana peserta wanita terutama suri rumah lebih arif dengan masakan ini,” katanya.
Peniaga pakaian dari Lunas itu berkata, memasak dengan bahan yang diberi agak susah berbanding dengan bahan yang diberi secara berlainan kerana sudah tentu ia dinilai melalui rasanya.
“Walaupun mendapat tempat ketiga, saya gembira kerana masakan saya dinilai juri profesional seperti Chef Zaidah.
“Selain itu, terdetik perasaan bangga kerana tiga tempat teratas dimenangi lelaki,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM100 berserta hamper.

Post a Comment

Previous Post Next Post

Translate